Penyelidikan Ex Post Facto

Penyelidikan Ex Post Facto

Bagaimanakah kita dapat menentukan bahawa variabel bebas atribut mendatangkan kesan pada variabel bersandar. Adakah jantina pelajar mempengaruhi pencapaian pelajar? Adakah kurangnya kasih sayang ibu bapa mendorong pelajar menagih najis dadah?

Persoalan-persoalan mengenai variabel-variabel atribut tidak dapat diselesaikan dengan menggunakan kaedah eksperimen. Kaedah eksperimen membenarkan penyelidik mengolah dan memanipulasi variabel-variabel bebas dan mencerap kesannya pada variabel bersandar. Bagaimana kita boleh mengolah variabel bebas jantina bagi mencerap kesannya terhadap variabel bersandar pencapaian sedangkan jantina telah wujud pada seseorang pelajar? Bagaimana kita boleh mengolah variabel kasih sayang ibu-bapa, sedangkan kasih sayang lahir secara semula jadi tanpa paksaan?

Kebanyakan variabel pendidikan adalah variabel atribut. Variabel atribut ialah variabel yang telah sedia wujud dalam unit sosial sebelum sesuatu kajian dimulakan. Sebahagian contoh variabel atribut yang sering dikaji adalah motivasi, kecerdasan, jantina dan persekitaran pelajar. Variabel atribut sukar diolah dan dikawal. Kajian eksperimen tidak dapat digunakan kerana kita tidak berupaya untuk mengolah dan mengawal variabel atribut.

Kajian ex post facto sesuai digunakan untuk mengkaji variabel atribut. Kajian ex post facto sering digunakan bagi mengkaji hubungan antara variabel-variabel bilamana penyelidik tidak dapat mengolah variabel bebas. Misalnya, kita tidak dapat menentukan dengan pasti sama ada variabel kasih sayang boleh mempengaruhi pencapaian akademik pelajar kerana kajian eksperimen tidak dapat dilakukan . Apa yang boleh dijalankan ialah mengkaji hubungan kasih sayang ibu bapa dengan pencapaian akademik anak-anaknya. Sekiranya hubungan bererti wujud antara kasih sayang dengan pencapaian akademik anak-anak mereka, penyelidik bolen membuat kesimpulan bahawa wujud perkaitan antara kasih sayang ibu bapa dengan pencapaian akademik anak-anak mereka.

Oleh kerana variabel bebas atribut tidak dapat diolah oleh penyelidik, penyelidik tidak berupaya untuk mengatakan hubungan sebab-musabab. Dalam contoh di atas, penyelidik tidak dapat mengatakan bahawa kurangnya kasih sayang dan ibu bapa menyebabkan pelajar mencapai pencapaian akademik yang rendah. Kita tidak dapat menentukan dengan tepat sama ada kurang kasih sayang menyebabkan pelajar mencapai pencapaian akademik yang rendah atau pencapaian akademik yang rendah menyebabkan pelajar kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.

Comments

Popular posts from this blog

Pembelajaran Dewasa

SAMPLING METHOD