Tuesday, December 21, 2010

BAB 3: PERSOALAN DAN OBJEKTIF KAJIAN

BAB 3:

PERSOALAN DAN OBJEKTIF KAJIAN

OBJEKTIF

Di akhir tajuk ini pelajar akan dapat :

  1. Mendefinisikan masalah
  2. Bentuk definisi masalah
  3. Penggubalan persoalan kajian
  4. Pembentukan objektif kajian

A) MENDEFINISIKAN MASALAH

Pendifinisian masalah kajian adalah menunjukkan jurang antara keadaan yang berlaku sekarang dengan keadaan yang diingini. Jika penyelidikan yang dilakukan di organisasi yang sebenar, maka masalah tersebut harus diidentifikasikan. Identifikasi ertinya memperincikan masalah tersebut sehingga dapat diketahui dengan jelas. Misalnya, jika masalahnya adalah berkaitan dengan disiplin kerja di sesebuah institusi atau organisasi, maka penyelidik mesti menjelaskan secara terperinci tentang masalah disiplin kerja tersebut. Huraian tentangnya mestilah mencakupi tentang pelanggaran-pelanggaran displin yang banyak dilakukan pegawai, atau gelagat-gelagat yang tidak sesuai dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi. Misalnya, peraturan menetapkan pekerja mula bekerja pada pukul 08.00 pagi, tetapi kenyataannya tidak demikian. Indentifikasi masalah yang terbaik adalah seharusnya disertakan dengan data yang dapat menyokongnya. Sebagai contoh, berapa ramai pekerja yang selalu datang lambat? Berapa lama jangkamasa waktu yang lambat tersebut? Di bahagian atau jabatan manakah yang paling banyak terjadi pekerja yang datang lambat? Pekerja dari golongan manakah yang sering datang lambat?

Setelah diidentifikasikan, masalah penyelidikan mesti dirumuskan. Perumusan masalah biasanya disusun dalam bentuk persoalan yang mana akan membentuk persoalan kajian (reseach questions). Misalnya : Sejauhmana peraturan-peraturan yang ada difahami oleh pekerja? Adakah terdapat saksi atau bahan bukti tentang pelanggaran terhadap peraturan? Apakah akibat yang ditimbulkan oleh pelanggaran peraturan tersebut? Apakah terdapat perkaitan di antara tingkat pemahaman terhadap peraturan dengan tingkat pelanggaran peraturan? Oleh kerana perumusan masalah merupakan persoalan kajian, maka perkara tersebut merupakan langkah pertama dalam pencarian data.

Penyelidikan pada umumnya dimulakan dengan sebuah permasalahan yang muncul kerana penyelidik mengamati fenomena yang berlaku di sekitarnya. Kemampuan ini adalah bergantung kepada dengan kepekaan penyelidik yang biasanya dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kretiviti dan penguasaan penyelidik terhadap sesuatu bidang yang bersangkutan dengan masalah tersebut.

Sebelum penyelidik melakukan perancangan penyelidikan dengan lebih jauh, beliau seharusnya dapat mengemukakan permasalahan yang timbul dalam bahasa yang mudah dan operatif. Apa yang dimaksudkan dengan mudah dan operatif adalah:

1. Ungkapan permasalahan itu boleh difahami dengan baik tanpa menimbulkan pengertian yang salah.

Seandainya ada istilah yang digunakan dalam pendefinisian masalah itu yang memiliki peluang untuk disalahertikan oleh orang lain, maka penyelidik haruslah mampu memberikan definisi yang jelas. Definisi ini sangat berguna bagi kedua pihak iaitu penyelidik dan pengurus yang akan memanfaatkan hasil penyelidikan. Bagi penyelidik, definisi yang jelas ini ini akan dapat menghindarkan dirinya dari masalah kebingungan di tengah-tengah proses penyelidikan. Namun yang demikian, adalah sangat merugikan dan juga merupakan suatu pembaziran jika di tengah-tengah proses penyelidikan tiba-tiba terdapat perkara yang belum mampu didefinisikan dengan jelas. Ini mungkin menyebabkan penyelidik terpaksa mengulang semula proses penyelidikan dari awal kerana terdapat beberapa konsep yang bersifat seperti itu. Kekaburan sesuatu permasalahan itu akan menyebabkan arah penyelidikan juga menjadi kabur. Ini umpama membawa anjing untuk berburu rusa sedangkan anjing tersebut tidak boleh membezakan antara bau rusa dan bau harimau. Sebelum anjing itu dibawa ke dalam perburuan rusa, anjing tersebut harus dipastikan tahu benar di antara bau rusa dengan bau yang lain.

Pengurus juga perlu dipastikan supaya dapat memanfaatkan hasil penyelidikan dengan cara melakukan rujukan yang jelas. Baik dalam perkara melakukan perancangan dan perlaksanaan mahupun meneruskan hasil penyelidikan. Seorang penyelidik yang bertugas harus dapat membuka jalan menuju ke puncak gunung juga harus mampu membuat jalan yang cukup jelas untuk dilalui rombongan berikutnya.

2. Hadkan ruang lingkup permasalahan.

Penyelidik berusaha untuk menspesifikasikan atau mengecilkan ruang masalah yang akan dikaji. Perkara ini akan membantu penyelidik merancang, melaksanakan dan akhirnya membuat kesimpulan dengan lebih terarah. Penyelidik yang memiliki cakupan permasalahan yang terlalu luas, akan menyebabkan kesulitan dalam perlaksanaannya nanti. Ia juga akan sering menghasilkan kesimpulan yang tidak banyak gunanya. Permasalahan yang terlalu luas juga akan membuka peluang yang semakin luas kepada faktor-faktor atau pembolehubah-pembolehubah lain untuk mengganggu penyelidikan tersebut.

3. Hadkan kelompok atau populasi penyelidikan

Dengan menghadkan populasi yang akan dikaji, penyelidik akan memiliki kesempatan untuk merancang pengambilan contoh yang representatif (mewakili) dan membuat kesimpulan yang lebih tepat. Penyelidikan yang menghadkan populasi dengan jelas akan tidak membawa kepada persoalan-persoalan tidak diingini. Adalah lebih sukar mencari seseorang jika petunjuknya hanya mengatakan dia tinggal di Kuala Lumpur, dibandingkan jika kita tahu tempat tinggalnya ada di jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur.

B) BENTUK DEFINISI MASALAH

Terdapat beberapa panduan di bawah yang akan membantu penyelidik dalam mengenalpasti masalah kajian:

a. Masalah yang baik dapat merumuskan setidak-tidaknya hubungan antara dua pembolehubah atau lebih

b. Masalah harus dinyatakan secara jelas dan tidak mempunyai makna yang berganda dan pada umumnya dinyatakan dalam bentuk persoalan.

c. Masalah yang baik adalah masalah yang dapat diuji dengan menggunakan kaedah empiris, iaitu dapat mengumpulkan data yang boleh digunakan sebagai bahan untuk menjawab masalah yang sedang dikaji.

d. Masalah tidak boleh mempersembahkan masalah posisi moral dan etika.

a. Hubungan Antara Pembolehubah

Masalah yang baik dapat mencerminkan hubungan antara dua pembolehubah atau lebih, kerana pada praktiknya penyelidik akan mengkaji pengaruh satu pembolehubah tertentu terhadap pembolehubah lainnya. Misalnya, seorang penyelidikan ingin mengetahui ada dan tidaknya pengaruh “gaya kepemimpinan” (variable bebas) terhadap “daya pengeluaran pekerja” (variable bersandar).

Jika seorang penyelidikan hanya menggunakan satu pembolehubah dalam merumuskan masalahnya, maka ia bermakna penyelidikan tersebut adalah berkaitan dengan kajian deskriptif, misalnya “Gaya kepemimpinan di syarikat X”. Penyelidik dalam hal ini hanya akan melakukan kajian terhadap gaya kepemimpinan yang ada tanpa mempertimbangkan faktor-faktor lain, baik yang mempengaruhi atau dipengaruhi oleh gaya kepemimpinan tersebut.

Contoh: Hubungan antara motivasi pekerja dan prestasi kerja

Motivasi: pembolehubah bebas; prestasi kerja: pembolehubah bersandar

b. Masalah Dirumuskan Secara Jelas, Tidak mempunyai makna yang berganda dan dalam bentuk persoalan

Masalah harus dirumuskan secara jelas dan tidak mempunyai makna yang berganda atau memungkinkan adanya tafsiran lebih dari satu dan dirumuskan dalam bentuk persoalan. Contohnya:

i. Adakah terdapat hubungan di antara promosi dengan jumlah jualan?

ii. Apakah warna kereta Suzuki mempengaruhi minat membeli pengguna?

iii. Apakah rekabentuk telefon bimbit mempengaruhi keputusan membeli pengguna?

iv. Adakah terdapat hubungan di antara minat baca dengan tingginya prestasi peperiksaan?

Contoh-contoh di atas mencerminkan rumusan masalah yang jelas dan tidak mempunyai makna yang berganda. Pada contoh “a” penyelidik ingin mengkaji hubungan pembolehubah promosi dengan pembolehubah jumlah jualan. Pada contoh “b” penyelidik ingin melakukan kajian tentang hubungan pembolehubah “warna kereta Suzuki” dengan pembolehubah “minat membeli”. Pada contoh “c” penyelidik akan mengkaji hubungan antara pembolehubah “rekabentuk telefon bimbit” dengan pembolehubah “keputusan membeli”. Pada contoh “d” penyelidik akan mengkaji hubungan antara pembolehubah “minat membaca” dengan “prestasi dalam peperiksaan”.

c. Dapat Diuji Secara Empirikal

Masalah harus dapat diuji secara empiris, maksudnya perumusan masalah yang dibuat memungkinkan penyelidik mencari data di lapangan sebagai bahan buktinya. Tujuan utama pengumpulan data ialah untuk membuktikan bahawa masalah yang sedang dikaji dapat dijawab jika penyelidik melakukan pencarian dan pengumpulan data. Dengan kata lain masalah memerlukan jawapan, dan jawaban didapatkan setelah penyelidik mengumpulkan data di lapangan dan jawapan masalah merupakan hasil penyelidikan.

d. Hindarilah Penilaian Moral dan Etika

Penyelidik patut menghindari masalah-masalah yang berkaitan dengan idealisme atau nilai-nilai, karena masalah tersebut lebih sulit diukur dibandingkan dengan masalah yang berhubungan dengan sikap atau kerja. Misalnya kita akan mengalami kesulitan dalam mengukur masalah-masalah seperti berikut ini:

o Patutkah semua mahasiswa tidak meniru dalam ujian?

o Patutkah semua mahasiswa rajin belajar?

Adalah lebih baik jika masalah tersebut dijadikan dalam bentuk seperti:

o Hubungan di antara kesempurnaan dalam ujian dan markah yang diperolehi

o Pengaruh kerajinan mahasiswa terhadap kelulusan

Strategi Menentukan Masalah

Salah satu cara untuk membuat perumusan masalah yang baik ialah dengan melakukan proses penyempitan masalah dari yang sangat umum menjadi lebih khusus dan pada akhirnya menjadi masalah yang spesifik dan siap untuk dikaji. Di bawah ini diberikan contoh cara menyempitkan masalah yang berkaitan dengan penyelidikann dalam dunia pengurusan perniagaan.

Gambarajah di atas menggambarkan peranan dalam mengidentifikasi masalah dalam proses pengembangan perumusan masalah, iaitu dimulakan dengan proses penyaringan yang umum sampai dengan masalah yang khusus. Masalah dimulai dengan adanya pemikiran “concern” dalam pengurusan yang sedang dihadapi atau yang akan dihadapi, kemudian masalah pemikiran tersebut dipersempitkan menjadi proses penyaringan perumusan masalah dan pada tahap ketiga menjadi penyaringan pemilihan masalah yang akan dikaji dengan disertai tujuan penyelidikannya.

Contoh kes:

1. Mengenali suatu gejala

Munculnya rasa ketidakpuasan di antara para programmer komputer di suatu organisasi tertentu. Penghasilan organisasi tersebut terus meningkat dengan baik selama lima tahun terakhir ini. Keluhan-keluhan secara lisan telah diterima dari para pegawai mengenai struktur gaji yang dianggap sudah tidak memadai lagi.

2. Identifikasi Masalah

a) Melakukan penilaian terhadap data internal dan eksternal dengan melakukan kegiatan-kegiatan sebagai berikut:

· Memantau ketidakpuasan tersebut dan penyebaran maklumat tentang hasil syarikat

· Mengenalpasti apakah terdapat rasa ketidakpuasan muncul di masa-masa yang lalu.

· Mencari literatur / ulasan karya yang membahas masalah yang mirip dengan kejadian yang dialami di syarikat tersebut dengan masalah di syarikat lain.

b) Menerangkan latar belakang masalah

· Pihak pengurusan tidak mempunyai perancangan alokasi gaji yang konsisten.

· Berdasarkan temuduga diketahui adanya ketidakpuasan terhadap sistem gaji di syarikat tersebut.

· Ada pihak mengeluh tentang diskriminasi dalam sistem gaji.

3. Rumusan Masalah

Rumusan masalah akan berbunyi sebagai berikut:

· Apakah-faktor utama yang mempunyai hubungan dengan tingkat gaji bagi para profesional pekerja komputer di syarikat tersebut?

· Adakah terdapat hubungan di antara meningkatnya penghasilan syarikat dengan ketidakpuasan di kalangan para programmer komputer?

Pertimbangan khusus dalam memilih masalah yang akan dikaji

Dalam melakukan pemilihan masalah dapat mempertimbangkan perkara-perkara di bawah ini:

a) Masalah tersebut dapat dikaji

Jika kita memilih masalah tertentu, maka persoalan-persoalan di bawah ini bermanfaat bagi kita untuk mengetahui apakah kita dapat atau tidak melakukan penyelidikan dengan masalah yang kita tentukan:

1. Apakah masalah tersebut dalam jangkauan kita?

2. Apakah kita mempunyai cukup waktu untuk melakukan penyelidikan dengan persoalan tersebut?

3. Apakah kita akan mendapatkan kebenaran untuk memperoleh sampel yang akan kita gunakan sebagai responden sebagai bukti pemerolehan data dan maklumat?

4. Apakah kita mempunyai alasan khusus sehingga kita percaya akan dapat memperoleh jawapan dari masalah yang kita rumuskan?

5. Apakah penyelidik menguasai kaedah yang diperlukan dalam penyelidikan tersebut?

b) Jangkauan Penyelidikan

Apakah masalahnya cukup memadai untuk dikaji? Apakah jumlah pembolehubahnya sudah cukup? Apakah jumlah datanya cukup untuk dilaporkan secara bertulis?

c) Perkaitan

Apakah kita tertarik dengan masalah tersebut dan cara pemecahannya? Apakah masalah yang kita kaji berkaitan dengan latar belakang pengetahuan atau pekerjaan kita? Jika kita melakukan penyelidikan dengan masalah tersebut apakah kita akan mendapatkan nilai tambah bagi pengembangan diri kita?

d) Nilai Teoritis

Apakah masalah yang akan dikaji akan mengurangi adanya kesenjangan teori yang ada? Apakah pihak-pihak lain, seperti pembaca atau pemberi dana akan mengakui kepentingan kajian ini? Apakah hasil penyelidikan nanti akan memberikan sumbangan pengetahuan terhadap ilmu yang kita pelajari? Apakah hasil penyelidikannya layak terbitkan?

e) Nilai Praktis

Apakah hasil penyelidikannya nantinya akan ada nilai-nilai praktis bagi para pengamal di bidang yang sesuai dengan masalah yang akan dikaji?

C) PENGUBALAN PERSOALAN KAJIAN

Pendefinisian masalah atau yang selalu disebut pernyataan masalah adalah satu bentuk pernyataan yang ringkas dan padat. Pernyataan masalah ini mestilah dibuat dalam bentuk persoalan. Persoalan-persoalan yang dibentuk adalah isu-isu yang akan dikaji dengan bermatlamatkan kepada jawapan atau penyelesaiannya. Sebagaimana yang telah disebutkan, pendefinisian-pendefinisian masalah mestilah berkaitan dengan:

· Masalah perniagaan yang sedang dihadapi oleh syarikat dan memerlukan penyelesaiannya.

· Situasi-situasi yang bukan masalah semasa, tetapi dirasakan oleh pengurus dapat meningkatkan prestasi syarikat.

· Bidang-bidang yang mempunyai kaitan dengan masalah konsep yang mana memerlukan peerangan yang lebih lanjut bagi pembangunan sesebuah teori yang lebih baik.

· Situasi-situasi yang mana penyelidik berminat untuk mencari jawapan terhadap persoalan kajian secara empirikal kerana berminat terhadap topik tersebut.

Dua tujuan yang pertama disebutkan adalah berkaitan denga penyelidikan gunaan. Manakala dua matlamat yang terakhir adalah berkaiatan dengan penyelidikan asas. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini masalah dikenalpasti sebagai panduan kepada penyelidik terhadap peringkat yang seterusnya. Sebagaimana proses penyelidikan, masalah akan ditentukan atau dikenalpasti semula.

Pernyataan masalah perlu ditulis dengan lengkap dan jelas. Ini kerana pernyataan masalah yang lengkap dan jelas akan membawa, kita boleh tentukan persoalan dan objektif kajian. Sebagai contoh, katakan seorang penyelidik ingin menyiasat perbezaan gaji di kalangan pekerja-pekerja pengeluaran. Antara persoalan yang boleh ditimbulkan ialah:

· Adakah terdapat perbezaan gaji mengikut jantina?

· Apakah faktor-faktor yang membawa kepada perbezaan gaji dikalangan pekerja pengeluaran?

· Adakah perbezaan gaji disebabkan oleh taraf pendidikan yang berbeza?

· Adakah perbezaan gaji disebabkan oleh pengalaman?

· Adakah perbezaan gaji dipengaruhi faktor umur?

Persoalan-persoalan ini akan membantu penyelidik menjuruskan pencarian literatur yang benar-benar relevan dan menyeluruh.

d) Pembentukan Objektif Kajian

Apabila kita dapat masalah atau peluang yang yang kita jangkakan dapat dibentuk melalui rangka kerja teoritikal atau konseptual maka secara tidak langsung kita dapat membentuk objektif kajian. Di dalam penyelidikan kualitatif, obejktif kajian dapat dibentuk dalam bentuk persoalan kajian. Sebagai contoh, Apakah terdapat kebimbangan para pekerja pengeluaran terhadap pengenalan sistem saran baru yang diperkenalkan? Dalam persoalan kajian ini penyelidik akan menumpukan kepada (a) sikap pekerja (b) pekerja pengeluaran (c) sistem saran baru.

Dalam penyelidikan kuantitatif, objektif kajian dapat dibentuk dalam bentuk hipotesis. Berdasarkan kepada hubungan antara pembolehubah-pembolehubah yang dibangunkan melalui rangkaian teoritikal, kita dapat membentuk hipotesis kajian yang boleh diuji. Sebagai contoh, Terdapat hubungan yang positif antara bilangan meja makan dalam sesebuah restoran dengan kepuasan pelanggan.

No comments:

Post a Comment