Tuesday, December 21, 2010

BAB 2 PROSES PENYELIDIKAN

BAB 2

PROSES PENYELIDIKAN

OBJEKTIF :

a) Menerangkan sebelas langkah-langkah dalam proses penyelidikan.

b) Pemilihan bidang/topik kajian

c) Skop dan permasalahan kajian

d) Pengumpulan data awal

Literatur

Temuduga

Tinjauan

e) Penulisan Ulasan Karya

APA manual (5th edition)

II. Proses penyelidikan Perniagaan

Proses penyelidikan adalah penting bagi seseorang penyelidik mendapatkan panduan baginya menjalankan sesuatu projek penyelidikan perniagaan.

Secara umumnya, terdapat tiga fasa utama dalam penyelidikan perniagaan iaitu pembentukan (formulation), pelaksanaan (execution), dan analitikal (Analytical).

Peringkat-peringkat dalam menjalankan penyelidikan

  1. Pengamatan
  2. Pengutipan maklumat awal dan pencarian ulasan karya
  3. Mendefinisikan Masalah
  4. Membangunkan Rangka Kerja Penyelidikan
  5. Objektif Kajian
  6. Rekabentuk Kajian
  7. Pengutipan Data
  8. Analisis Data
  9. Terjemahan Dapatan
  10. Menulis Laporan
  11. Tindakan pihak pengurusan atasan

  1. Pengamatan/Tinjauan (Isu dan permasalahan kajian)

Langkah pertama dalam penyelidikan adalah dengan menjalankan pengamatan terhadap keadaan yang berlaku di organisasi. Di peringkat ini, pengurus akan mencuba mengamati sebarang perubahan yang berlaku di organisasi tempat ia bertugas. Adakah berlaku sebarang perubahan tingkahlaku atau sikap atau perasaan pekerja terhadap persekitaran tempat kerja. Jika terdapat perubahan tingkahlaku atau suasana yang baru di tempat kerja, ia mungkin memerlukan penerangan mengapakah ia berlaku.

Persoalan yang agak rumit dalam penyelidikan adalah menentukan apa yang akan diteliti atau diamati. Perkara yang ingin dikaji mungkin muncul dari pertimbangan teoritis, pragmatis, atau kedua-duanya. Masalahnya, tidak ada panduan yang yang boleh digunakan untuk membantu penyelidik memilih isu dalam penyelidikannya.

Tidak ada jawapan yang tegas dan pasti di mana penyelidik dapat menemukan isu penyelidikannya. Namun begitu, sumber masalah boleh berasal dari pengalaman peribadinya, maklumat yang dibacanya, perbualan-perbualan, apa-apa yang ditayangkan di media masa, teori yang dipelajari, kejadian-kejadian yang dilihat sehari-hari, nilai yang dianuti, dan sebagainya. Ini bermaksud, apa pun yang terjadi dalam diri penyelidik, dapat menjadi sumber inspirasi untuk projek penyelidikannya.

Pada umumnya penyelidikan dilakukan untuk mencapai matlamat tertentu. Suatu penyelidikan boleh mempunyai kegunaan praktis jika isu penyelidikan yang dipilihnya adalah yang berkenaan dengan apa yang ditemui penyelidik dalam lingkungan kehidupannya. Apa yang dimaksud dengan masalah dalam konteks ini adalah sesuatu yang dianggap negatif berdasarkan ukuran tertentu. Jika sekelompok pegawai selalu datang lewat dari yang seharusnya maka terlihat adanya masalah. Jika pengeluaran selalu tidak mencapai target, maka terdapat masalah. Seorang pengurus pemasaran melakukan penyelidikan tentang kepuasan pengguna mungkin kerana terdapat banyak rungutan-rungutan dari mereka. Isu penyelidikan pengurus tersebut adalah "kepuasan pengguna". Pengurus produksi juga melakukan penyelidikan tentang pengendalian kualiti kerana banyak barang yang ditolak oleh para pemesan. Isunya adalah "kawalan kuatliti". Seorang mahasiswa mengambil isu "disiplin kerja" untuk penyelidikannya, kerana ketika datang ke suatu jabatan didapati pegawainya seringkali lambat datang ke pejabat. Isu-isu penyelidikan tersebut tadi benar-benar didasarkan atas masalah yang nyata terjadi dan sasarannya adalah menyelesaikan masalah tersebut.

Penyelidikan dapat juga dimulakan dengan adanya gambaran dan sifat ingin tahu yang datang dari penyelidik. Tanpa ada kejadian istimewa, sama ada kejadian negatif atau kejadian positif, seseorang itu boleh melakukan penyelidikan kerana ada sesuatu hal yang ingin diketahuinya sendiri, atau beliau ingin menggunakan ilmu yang ada padanya. Seorang yang tertarik dalam bidang pengurusan dapat mengkaji keberkesanan suatu program latihan mungkin bukan untuk kegunaan praktis, tetapi semata-mata ingin membuktikan teori yang dipelajarinya. Seseorang dapat juga mengkaji budaya organisasi dengan tujuan "hanya" ingin mengetahuinya saja atau melakukan penyelidikan dengan maksud menyusun suatu teori baru.

Terdapat juga penyelidikan itu dilakukan kerana beberapa sebab iaitu:

(1) Isu yang dipilih merupakan isu yang dapat menghasilkan penghargaan terhadap dirinya;

(2) terdapat bantuan kewangan dan tenaga penyelidik

Pengurus dalam bidang perniagaan perlulah sentiasa peka terhadap perubahan yang berlaku di tempat kerja. Beliau perlulah mendapatkan isu-isu semasa yang terdapat di bawah kawalannya. Beliau mestilah peka terhadap perubahan yang berlaku seperti perubahan tingkah laku, sikap, corak komunikasi, gaya dan sebagainya. Pengurus mungkin tidak memahami apakah yang sebenarnya yang berlaku tetapi beliau tahu bahawa perkara yang diamati itu tidak patut berlaku. Sebagai contoh, kejatuhan di dalam jualan, gangguan dalam pengeluaran, pekerja yang tidak minat dalam pekerjaan, mungkin dikesan oleh pihak pengurusan walaupun beliau tidak pasti apakah yang berlaku.

  1. Pengutipan maklumat awal dan pencarian ulasan karya

Langkah ini adalah lebih mendalam lagi berbanding langkah yang pertama. Penyelidik perlulah menjalankan pemerhatian untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam. Sebagai contoh penyelidik perlulah mendapatkan maklumat daripada beberapa orang di tempat kerja atau pelanggan atau lain-lain sumber agar memperolehi maklumat tentang apakah yang berlaku dan mengapa ia berlaku. Biasanya untuk mengenal pasti apakah yang berlaku adan mengapa ia berlaku, penyelidik hendaklah menjalankan temuduga tidak berstruktur. Setelah itu temuduga yang berstruktur dan formal dilakukan terhadap beberapa kumpulan yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Pengetahuan asas berkenaan perkara yang dikaji perlu sebelum melaksanakan kajian. Penyataan masalah tidak sempurna, tidak lengkap dan kabur tanpa membuat rujukan. Rujukan bahan atau sorotan literatur merupakan aktiviti-aktiviti mencari maklumat berkaitan perkara yang dikaji berdasarkan bahan-bahan sedia ada. Sekiranya kajian kita mengenai kepuasan kerja maka, kita mesti benar-benar faham maksud kepuasan kerja. Untuk itu kita perlu ke perpustakaan untuk mencari bahan-bahan mengenainya. Kemudian kita akan mencari hasil-hasil kajian atau tulisan-tulisan yang sedia ada mengenai kesan kepuasan kerja terhadap sesebuah organisasi perniagaan. Berdasarkan rujukan, pemahaman kita dalam menyatakan permasalahan kajian akan menjadi lengkap dan dapat dipertahankan. Seterusnya rujukan awal akan membantu kita untuk merangka hipotesis.

Sebagai tambahan penyelidik hendaklah menjalankan pencarian maklumat di perpustakaan, internet atau dari sumber-sumber yang lain untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Pencarian ini penting untuk mengetahui mengapakah berlaku perubahan yang di amati dan bagaimanakah cara mengatasinya.

Tinjauan awal terhadap ulasan karya juga perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Ia boleh dilakukan dengan membuat penyelidikan perpustakaan untuk memeriksa segala teori dan bahan-bahan penyelidikan yang ada di dalam bidang ini. Penyelidik juga perlu mengenalpasti apakah bahan-bahan yang berkaitan yang perlu dirujuk. Ini adalah perlu untuk mendapatkan maklumat latar belakang serta membantu penyelidik dalam membuat hipotesis. Dengan berbuat demikian pelajar juga dapat mengelakkan dari membuat duplikasi terhadap sesuatu penyelidikan.

  1. Mendefinisikan Masalah

Permasalahan merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perkara kajian yang kita akan lakukan. Dunia perniagaan memang dipenuhi oleh berbagai-bagai perkara yang boleh dijadikan topik kajian. Dalam bidang perniagaan umpamanya, pengurus-pengurus berhadapan dengan bermacam-macam permasalahan yang melibatkan para pekerja. Penyelidik misalannya boleh mengemukakan kajian untuk mengetahui punca-punca masalah kemerosotan jumlah pengeluaran, meninjau pandangan pekerja mengenai kemudahan-kemudahan di kilang, membandingkan pencapaian berasaskan latarbelakang pendidikan pekerja, melihat persepsi hubungan pekerja-pekerja dan sebagainya. Sebagai seorang yang berminat dalam perniagaan, kita akan melihat sesuatu masalah berdasarkan pemikiran yang berkenaan dengan pengurusan perniagaan. Contohnya dalam konteks pencapaian motivasi, kita melihat pelbagai bentuk pengaruh persekitaran pekerjaan telah mengubah pekerja-pekerja baik dari segi dari pemikiran hingga kepada tingkah lakunya. Antara perubahan-perubahan adalah seperti cara berpakaian, cara berkomunikasi, cara berhubung, dan sebagainya. Dalam melaksanakan kajian, kita tidak dapat mengkaji dan menyelesaikan banyak masalah dalam satu penyelidikan. Oleh itu adalah kebiasaan setiap penyelidikan memfokuskan kajian kepada suatu penyataan masalah yang khusus. Sebagai satu contoh penyelidikan mengenai kesan motivasi terhadap pengeluaran. Penyelidikan mungkin ingin melihat bagaimana persekitaran perniagaan telah mengubah fikiran dan tingkah laku para pekerja pengeluaran di Malaysia. Untuk melakukan penyelidikan di seluruh negara adalah sukar. Jadi kita mengecilkan skop kajian ke sebuah organiasasi.

Pendefinisian masalah adalah perbezaan atau antara situasi yang sebenar dengan situasi yang diharapkan. Ia juga adalah suatu kesulitan yang menggerakkan manusia untuk memecah atau meleraikannya. Penyelidik perlukan dapat membezakan di antara symptoms dan masalah. Sebagai contoh kemerosotan di dalam pengeluaran adalah symptoms manakala ketidak kepuasan kerja adalah masalah. Ini kerana ketidakpuasan akan membawa kepada kemerosotan pengeluaran. Masalah hendaklah dinyatakan dengan jelas adan tidak kabur dalam bentuk persoalan yang boleh diuji secara empirikal. Pemilihan masalah mungkin berdasarkan kepada minat atau ia juga mungkin datang dari segi teoru atau amalan pekerjaan.

  1. Membangunkan Rangka Kerja penyelidikan

Ia adalah suatu langkah penting untuk menghubungkan semua maklumat yang didapati dalam bentuk yang yang lebih mudah difahami agar masalah kajian dapat dirumuskan dan diuji. Biasanya dalam membangunkan rangka kerja penyelidikan kita akan menggunakan segala pengalaman yang kita ada serta tidak lupa juga penggunaan intuisi. Dalam langkah ini kita akan mengkritik atau menganalisa konsep-konsep dan pembolehubah-pembolehubah yang kita rasakan mempunyai pengaruh terhadap masalah kajian. Kita akan membuat suatu rangkaian hubungan antara di antara konsep atau pembolehubah untuk menerangkan secara gambarajah bagaimana ianya dapat menyumbang kepada masalah yang telah kita definisikan.

Jika maklumat yang kita dapati daripada ulasan karya adalah berasaskan kepada konsep maka kita namakannnya pembangunan rangka konseptual. Jika kita hanya membuat atau membangunkan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah maka kita namakannya pembangunan rangka kerja teoritikal.

  1. Objektif Kajian

Apabila kita dapat masalah atau peluang yang yang kita jangkakan dapat dibentuk melalui rangka kerja teoritikal atau konseptual maka secara tidak langsung kita dapat membentuk objektif kajian. Di dalam penyelidikan kualitatif, obejktif kajian dapat dibentuk dalam bentuk persoalan kajian. Sebagai contoh, Apakah terdapat kebimbangan para pekerja pengeluaran terhadap pengenalan sistem saran baru yang diperkenalkan. Dalam persoalan kajian ini penyelidik akan menumpukan kepada (a) sikap pekerja (b) pekerja pengeluaran (c) sistem saran baru.

Dalam penyelidikan kuantitatif, objektif kajian dapat dibentuk dalam bentuk hipotesis. Berdasarkan kepada hubungan antara pembolehubah-pembolehubah yang dibangunkan melalui rangkaian teoritikal, kita dapat membentuk hipotesis kajian yang boleh diuji. Sebagai contoh, Bila bilangan meja makan ditambah dalam sesebuah restoran maka kepuasan pelanggan akan meningkat.

  1. Rekabentuk Kajian

Setelahobjektif kajian ditentukan maka kita boleh merancang apakah reka bentuk kajian yang diperlukan. Persoalan yang bermain dalam diri penyelidik adalah sama ada ia memerlukan pendekatan kualitatif atau pendekan kuantatitaif. Persoalan ini dapat dijawab setelah kita membentuk objektif kajian yang mana kita akan menggunakan pendekatan kualitatif bila kita membentuk persoalan kajian. Manakala kita akan menggunakan pendekatan kuantitatif bila kita membentuk hipotesis kajian.

Bagaimanapun terdapat isu lain yang perlu kita selesaikan. Pertama, penyelidik perlu menentukan adakah penyiasatan yang bakal dilakukkan adalah berbentuk tinjauan (explolatary), deskriptif, atau pengujian hipotesis. Kedua, jika kajian itu adalah menggunakan pendekatan kualitatif , adakah penyelidik menggunakan temuduga, kumpulan focus, pemerhatian atau panel. Adakah penyelidik menggunakan kombinasi kaedah pengumpulan data? Ketiga, respoden perlu dikenalpasti dan dipilih. Siapa yang perlu ditemuduga? Siapa yang perlu ditemuduga? Siapa yang perlu menerima boring soal selidik? Bagaimana responden dikenalpasti dan dipilih? Adakah keseluruhan populasi akan disiasat atau menggunakan sampel? Keempat, beberapa konsep atau pembolehubah perlu dioperasikan atau diterangkan dengan jelas. Sebagai contoh, apakah yang dimaksudkan dengan pekerja? Apakah yang dimaksudkan dengan kepuasan? Apakahkah yang dimaksudkan dengan peningkatan jualan yang tinggi? Adakah peningkatan 10%, 20% atau 30% yang dianggap tinggi? Rekabentuk penyelidikan perlu menjawab persoalan-persoalan asas seperti yang disebutkan di atas.

  1. Pengumpulan Data

Selepas membentuk persoalan kajian atau hipotesis kajian, maka data perlu dikutip. Maklumat dapat diperolehi daripada berbagai-bagai sumber. Strategi dan teknik merupakan cara-cara yang kita gunakan untuk mengumpul data-data atau maklumat dalam penyelidikan. Tujuan kajian akan membantu menentukan strategi kajian. Teknik atau taktik merujuk kepada kaedah khusus dalam kaedah pengumpulan data. Contohnya seperti temubual, soal selidik, pemerhatian, dan sebagainya. Setiap strategi dan teknik masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Penyelidikan boleh memilih strategi dan teknik tertentu ataupun menggabungkannya. Apa yang penting ialah strategi dan teknik yang dipilih mempunyai ciri-ciri kredibiliti, keobjektifan, kebolehanpercayaan, keesahan dan kebolehan untuk generalisasi. Penyelidikan yang empirikal akan memilih strategi dan teknik yang sesuai dan betul dalam mengumpul data. Secara amnya terdapat dua kategori data iaitu data primer dan data sekunder. Data primer merupakan data-data yang diperolehi secara langsung daripada situasi pekerjaan yang sebenar. Antara teknik yang selalu digunakan untuk mendapatkan data primer adalah seperti menggunakan boring soal selidik, temubual, dan pemerhatian.

Data sekunder pula merupakan maklumat-maklumat daripada bahan sedia ada dan boleh diperolehi melalui rujukan perpustakaan. Ia melibatkan kajian-kajian teks, dokumen, kertas kerja, media massa, dan sebagainya. Sebagai contoh, data-data yang diperolehi hasil temubual dengan para pekerja dikenali sebagai data primer. Data-data yang kita perolehi melalui bacaan di perpustakaan pula dianggap sebagai data sekunder.

Teknik yang biasa dipilih oleh penyelidikan kualitatif ialah pemerhatian, temubual, soal selidik, kajian-kajian bahan seperti dokumen dan teks, visual seperti gambar dan video, laporan rasmi, dan lain-lain. Bagi penyelidikan kuantitatif, strategi asas ialah soal selidik, menganalisa maklumat-maklumat data-data numerikal yang sedia ada dan melakukan pengujian hipotesis. Sekiranya kita mempunyai sampel yang besar, kita boleh memilih strategi menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada responden. Sekiranya sampel yang dipilih cuma empat orang, kita boleh memilih strategi temubual. Kajian rintis atau praujian perlu dilakukan untuk melihat sejauh manakah strategi dan teknik yang telah dipilih sesuai dan mampu dilaksanakan. Sebagai contoh, jika kita menggunakan borang soal selidik, ianya perlu dicuba terlebih dahulu. Borang-borang diedarkan kepada responden terpilih. Hasilnya akan dikaji dan di mana perlu pengubahsuaian dilakukan terhadap kandungan borang soal selidik sebelum ianya diedarkan untuk penyelidikan sebenar.

Data boleh dikutip melalui pendekatan kualitatif (sebagai contoh, kumpulan fokus) atau pendekatan kuantitatif (contohnya, boring soal selidik). Misalnya, jika penyelidik ingin mengetahui apakah pekerja berasa bimbang terhadap sistem saran baru maka beliau perlu menggunakan temuduga kaedah kumpulan fokus. Bagaimanapun jika beliau ingin menyiasat sama ada terdapat hubungan antara kepuasan kerja dengan pengeluaran maka beliau patut menggunakan boring sola selidik.

  1. Analisis Data

Dalam langkah ini, penyelidik menganalisis data yang telah dikumpul itu dengan menggunakan kaedah yang paling sesuai untuk membuktikan persoalan kajian atau hipotesis yang dibentuk dapat disokong dan dan dibuktikan kebenarannya. Analisis secara kualitatif dan juga kuantitatif dapat dijalankan untuk menentukan sama ada objektif kajian dicapai atau tidak. Sebagai contoh, untuk melihat sama ada terdapat hubungan antara kepuasan kerja dan tahap pengeluaran maka kita perlu memilih analisis korelasi. Dengan kata lain ujian hipotesis perlu dilakukan dengan menggunakan ujian statistic yang bersesuaian. Manakala dalam analisis secara kualitatif, penyelidik boleh mendapatkan data melalui temuduga atau pemerhatian. Sebagai contoh untuk melihat sama ada system saraan baru membawa kekecewaan kepada pengurus maka selepas system itu dijalankan penyelidik boleh mengadakan pertemuan dengan beberapa orang pengurus untuk mendapatkan maklum balas.

  1. Menterjemahkan Dapatan Kajian

Dalam langkah ini penyelidik perlu membuat kesimpulan dengan cara menterjemahkan dapat kajian yang di dapati dalam analisis data pada langkah sebelumnya.

Menginterpretasi data merupakan perkara penting yang menarik minat penyelidik. Penganalisaan perlu dilakukan dengan teliti. Data-data akan membuktikan atau menafikan hipotesis penyelidikan. Bagi penyelidikan kuantitatif, data-data perlu diproses dengan pengiraan yang berhati-hati supaya tidak berlaku kesalahan statistik. Sekarang penganalisaan data adalah lebih mudah dengan bantuan program komputer. Dalam menganalisa statistik, kita harus akur dengan kenyataan ‘statistik tidak selalunya benar-benar membuat kenyataan yang tepat, ia hanya mencadangkan kenyataan yang betul, iaitu ada kemungkinan betul dan ada kemungkinan tidak betul’.Maklumat-maklumat hasil penyelidikan kualitatif pula perlu dicatatkan semasa atau sebaik sahaja kerja lapangan dijalankan. Ini terutamanya untuk mengelakkan penyelidik misalnya ‘terlupa’ akan maklumat-maklumat yang baru diperolehinya. Penganalisaan dapat dibantu dengan penggunaan carta, jadual, graf, rajah, transkrip, dan sebagainya.

Sebagai contoh hubungan antara kepuasan kerja dan tahap pengeluaran adalah +0.8, maka penyelidik dapat mebuat kesimpulan bahawa terdapat hubungan positif yang kuat antara kepuasan kerja dan tahap pengeluaran. Dengan kata lain jika kepuasan kerja meningkat maka tahap pengeluaran para pekerja juga akan meningkat.

  1. Menulis laporan

Setelah data diterjemah dan dibuat kesimpulan maka penyelidik perlu menulis laporan tentang apa yang didapati dalam kajian yang telah dilakukannya. Dalam laporan penyelidik perlu menulis tujuan kajian, menerangkan tentang latarbelakang kajian, objektif kajian, persoalan kajian atau hipotesis kajian, terangkan rekabentuk kajian, cara data di analisis, penerangan tentang dapatan kajian dan juga cadangan-cadangan yang perlu bagi menjawab masalah yang telah dikenal pasti.

Melaporkan hasil bermaksud menukarkan penyelidikan yang telah dijalankan kepada bentuk susunan teks bertulis. Ia merupakan peringkat akhir sesuatu penyelidikan. Penulisan laporan selalunya dibahagikan kepada beberapa tajuk kecil iaitu pengenalan dan latar belakang kajian, hipotesis dan kaedah kajian, analisa data-data, rumusan dan penutup, bibliografi dan lampiran-lampiran yang berkaitan. Sebelum bahagian pengenalan, laporan selalunya mengandungi ruang untuk ‘halaman’ dan ringkasan atau abstrak kajian. Bahagian pengenalan menerangkan mengenai tajuk dan bidang kajian. Pada kebiasaannya sebahagian besar isinya adalah berdasarkan rujukan-rujukan sekunder. Bahagian hipotesis pula menyatakan harapan-harapan pengkaji terhadap hasil kajian. Ia juga menerangkan rasional di sebalik kaedah yang dipilih. Selepas itu barulah penulisan membincangkan hasil-hasil berdasarkan data-data yang diperolehi. Hujahan-hujahan yang kritikal disertakan. Dapatan-dapatan utama merupakan perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan permasalahan penyelidikan. Mungkin juga terdapat dapatan-dapatan sampingan yang tidak secara langsung berkaitan dengan topik kajian. Akhirnya penyelidik akan membuat rumusan daripada hasil kajian dan membuat cadangan-cadangan yang berkaitan. Adalah menjadi kebiasaan setiap penyelidikan sosial mencadangkan kajian-kajian lanjut berdasarkan dapatan-dapatannya.

Pada tahap ini penyelidik perlu membandingkan kajian yang telah dibuat dengan kajina sebelumnya. Pada tahap ini penyelidik perlu mempersembahkan kepada pelanggan atau pihak pengurusan atas untuk tindakan lanjut selepas apa yang telah didapati dalam kajiannya.

Di akhir penyelidikan, penyelidik bolehlah membuat rumusan kesimpulan. Di peringkat ini, beliau haruslah memberi laporan penyelidikan dan membincangkan kepentingan hasil kajiannya dengan mengaitkan hasil kajian tersebut kepada teori dan penyelidikan yang telah wujud.

Oleh itu beliau boleh menyokong kepada teori sedia ada atau menolak teori yang sedia ada. Beliau juga boleh memberikan cadangan teori-teori sedia ada dimodifikasikan atau dikaji semula.

  1. Tindakan Susulan Badan Pengurusan Atasan

Pihak pengurusan perlu peka atas apa yang dibentangkan oleh penyelidik terhadap apa yang telah dikaji. Dalam tahap ini, tindakan pihak pengurusan perlu mempunyai tanggungjawab. Setelah selesai pembentukan cadangan-cadangan perlu dibuat untuk menyediakan berbagai rancangan untuk sebagai maklum balas terhadap masalah atau peluang yang dikemukakan. Perancangan-perancangan ini perlu dilaksanakan serta dikawal perlaksanaannya agar tidak menyimpang dari apa yang telah dirancangkan.

Rajah: Proses Penyelidikan menurut Hair (2007)

Sumber: Hair (2007)

Rajah: Proses penyelidikan menurut Cavana, Delahaye danc Sekaran, 2003).

MASALAH SISTEM PENGURUSAN MAKLUMAT

1. Pemerhatian

Pengarah Teknologi Maklumat bagi di Kolej Yayasan Melaka memerhatikan bahawa sistem pengurusan maklumat yang baru dipasang tidak digunakan oleh para pengurus-pengurus jabatan akademik sebagaimana dijangkakan. Para pengurus tersebut akan menemui Pengarah Teknologi Maklumat dan sesetengah “pakar komputer” untuk pertolongan atau yang paling teruk membuat keputusan sendiri tanpa merujuk fakta yang terdapat dalam sistem pengurusan maklumat yang dibangunkan. Pengarah Teknologi Maklumat di Kolej Yayasan Melaka merasakan tindakan atau kelakuan yang dilakukan oleh para pengurus tersebut adalah sesuatu yang tidak diingini dan ia merupakan suatu masalah yang perlu diatasi.

2. Maklumat yang dikumpulkan melalui temubual tidak formal

Dengan berbual-bual dengan para pengurus jabatan akademik, Pengarah Teknologi Maklumat mendapati bahawa kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai sistem pengurusan maklumat yang sebenar yang sebagaimana jabatan sistem pengurusan maklumat sediakan. Pengetahuan tentang bagaimana mencapai, melombong data (data mining) dan menggunakannya adalah terlalu sedikit.

3. Memperolehi maklumat melalui kajian literatur (ulasan karya)

Pengarah Teknologi Maklumat kemudiannya menggunakan internet bagi mendapatkan lebih banyak maklumat ke atas perkara kekurangan pengunaan sistem pengurusan maklumat dalam organisasi. Hasil daripada pembacaan karya lepas menunjukkan bahawa kebanyakan kebanyakan pengurusan peringkat pertengahan, terutamanya orang lama, tidak begitu mengetahui bagaimana mengoperasikan komputer dengan sendiri dan mengalami perasaan “fobia terhadap komputer”. Kekurangan pengetahuan terhadap apa yang disediakan oleh pihak sistem pengurusan maklumat juga menjadi salah satu sebab utama mengapa para pengurus peringkat pertengahan iaitu pengurus akademik tidak menggunakan sistem ini.

4. Pendefinisian Masalah

Pengurus-pengurus menghadapi masalah dalam menggunakan komputer dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan sistem maklumat pengurusan syarikat. Adakah kekurangan pengetahuan terhadap apa yang disediakan oleh pihak sistem pengurusan maklumat juga menjadi salah satu sebab utama mengapa para pengurus peringkat pertengahan iaitu pengurus akademik tidak menggunakan sistem pengurusan maklumat?

5. Pembentukan teori (Kerangka kerja teoritikal)

Berdasarkan maklumat ini Pengarah Teknologi Maklumat akan membangunkan teori yang merangkumi ksesemua faktor-faktor relavan yang menyumbangkan kepada kekurangan capaian ke atas sistem pengurusan maklumat oleh para pengurus dalam organisasi.

6. Objektif kajian

Berdasarkan teori tersebut, Pengarah Teknologi Maklumat akan menjana pelbagai hipotesis untuk diuji. Salah satu di antaranya ialah: pengetahuan terhadap penggunaan sistem pengurusan maklumat membantu pengurus untuk menggunakannya dengan efektif.

7. Rekabentuk Kajian

Penyelidik akan merekabentuk temebual berstruktur berasaskan kepada pelbagai faktor seperti yang terdapat dalam teori-teori tentang bagaimana dapat menggalakkan penggunaan sistem maklumat pengurusan (MIS) syarikat. Di antaranya adalah dengan pengetahuan terhadap MIS, jenis maklumat atau panduan tentang MIS yang disediakan,dajah keselesaan dalam menggunakan MIS dan akhir sekali adalah sejauhmanakah pengurus dan pekerja syarikat menggunakan MIS dalam tiga bulan lepas. Oleh kerana penyelidik ingin membuat keputusan, maka rekabentuk yang akan dibangunkan adalah rekabentuk pengujian hipotesis.

8. Pengumpulan data

Seterusnya, Pengarah Teknologi Maklumat akan menemubual dengan para pengurus.

9. Analisis data

Pengarah Teknologi Maklumat kemudiannya akan menganalisa data yang diperolehi melalui borang soal selidik untuk melihat faktor-faktor yang menghalang pengurus dari menggunakan sistem pengurusan maklumat.

10. Terjemahan data

Berdasarkan dari keputusan yang diperolehi, Pengarah Teknologi Maklumat merumuskan dan menjalankan deduksi bahawa pengurus yang tidak menggunakan sistem pengurusan maklumat disebabkan oleh beberapa faktor tertentu.

11. Penyediaan Laporan

Pengurus sebagai penyelidik akan mula menulis laporan yang mana beliau akan cuba membuat cadangan-cadangan bagi tindakan pada masa hadapan.

12. Tindakan Pengurusan atasan

Setelah selesai pembentukan cadangan-cadangan perlu dibuat untuk menyediakan berbagai rancangan untuk sebagai maklum balas terhadap masalah atau peluang yang dikemukakan. Perancangan-perancangan ini perlu dilaksanakan serta dikawal perlaksanaannya agar tidak menyimpang dari apa yang telah dirancangkan. Deduksi ini membantu Pengarah Teknologi Maklumat untuk mengambil langkah yang sepatutnya untuk memperbetulkan situasi yang mungkin melibatkan seminar tertentu bagi melatih para pengurus akademik agar dapat menggunakan komputer dan perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan sistem pengurusan maklumat.

D) PENULISAN ULASAN KARYA

Mengikut Sistem Harvard, sesuatu rujukan dibuat hendaklah dengan menyebut nama pengarang dan tahun penerbitan. Di dalam teks, tahun pernerbitan diletakkan di dalam kurungan selepas nama pengarang sekiranya nama ini menjadi sebahagian ayat. Sebagai contoh :

Jika seorang pengarang,

John (1986) ……………………………..

Jika dua orang pengarang,

Salleh & Mahmud (1987) ………………..

atau, jika ada lebih daripada dua orang pengarang,

Ahmad et al. (1990)……….

Jika beberapa penulisan dibuat oleh pengarang yang sama di dalam tahun yang sama, abjad a, b, c, dan lain-lain bendaklah diletakkan selepas tahun penerbitan; sebagai contoh:

Ahmad & Abu (2002a)……..

Ahmad & Abu (2002b)……..

Sebaliknya pula, nama pengarang dan juga tahun penerbitan diletakkan di dalam kurungan jika nama pengarang bukan merupakan bahagian ayat. Sebagai contoh :

………………........ (Ahmad & Mansor, 2003).

Jika beberapa penerbitan dirujuk di dalam sesuatu ayat, rujukan itu mestilah disebut mengikut susunan tahun. Walau bagaimanapun, jika beberapa penerbitan yang diterbitkan di dalam tahun yang sama dirujuk, rujukan itu mestilah disebut mengikut susunan abjad dengan rujukan yang ditulis oleh seorang pengarang didahulukan daripada rujukan yang hasilkan oleh beberapa orang pengarang.

Pada akhir laporan, semua rujukan hendaklah disenaraikan mengikut susunan abjad. Senarai ini tidak perlu diberi nombor. Rujukan tentang makalah hendaklah ditulis seperti yang berikut: nama pengarang singkatan nama (bukannya nama pengarang pertama et al.), tahun penerbitan diletakkan di dalam kandungan, tajuk penuh penulisan, nama makalah yang dipendekkan dengan huruf condong (atau digarisi pada sebelah bawah), nombor jilid ditulis dengan nombor Arab yang digarisi dua kali pada sebelah bawah (atau di dalam cetakan tebal), mukasurat permulaan dan mukasurat akhir penulisan itu. Sebagai contoh :

Jeanquart, S., & Peluchette, J. (1997). Diversity in the workforce and management models. Journal of Social Work Studies. 43 (3), 72-85.

Dalam sistem Harvard, judul buku ditulis didalam huruf condong (ataupun digaris pada sebelah bawah) diikuti pula dengan nama bandar dan nama penerbit. Sebagai contoh:

Leshin, C B. (1997). Management on the World Wide Web. Englewood Cliffs, NJ: Prentice Hall.

Rujukan kepada buku yang disunting boleh ditulis seperti berikut:

Hocking, A. D. (1988). Mould and yeasts associated with foods of reduced water activity: Ecological interactions. In Food Preservation by Moisture Control

(Seow, C. C., ed.), p. 57-72.London: Elsevier Applied Sci. Publ.

Senarai Rujukan

Maklumat berikut mestilah dinyatakan apabila menyenaraikan sebuah buku untuk senarai rujukan.

  • Nama pengarang atau pengarang-pengarang, editor-editor atau institusi yang bertanggungjawab dalam penerbitan bahan tersebut. Atur senarai pengarang mengikut abjad.
  • Tarikh terbitan.
  • Judul penuh buku itu, termasuk judul kecil jika ada (dihuruf condongkan).
  • Judul siri, jika ada, dan jilid atau nombor siri.
  • Bilangan jilid atau keseluruhan nombor jilid daripada bahan yang diterbitkan dalam beberapa jilid.
  • Edisi, jika bukan edisi asal/pertama.
  • Bandar/tempat terbitan.
  • Nama penerbit.

APA 5th Edition Guidelines

Encyclopedia atau kamus (dictionary)

Sadie, S. (Ed.). (1980). The new Grove dictionary of music and musicians (6th ed., Vols. 1-20). London: Macmillan.

Buku

Calfee, R. C., & Valencia, R. R. (1991). APA guide to preparing manuscripts for journal publication. Washington, DC: American Psychological Association.

Web site

Shade, L. R. (1993). Bender issues in computer networking. Retrieved August 8, 2000, from http://www.mit.edu/sorokin/women/lrs.html

Journal article, more than one author, paginated by volume

Kernis, M. H., Cornell, D. P., Sun, C. R., Berry, A., & Harlow, T. (1993). There's more to self-esteem than whether it is high or low: The importance of stability of self-esteem. Journal of Social Psychology, 38, 1190-1204.

Journal article, one author, paginated by issue

Maienza, J. G. (1986). The superintendency: Characteristics of access for men and women. Educational Administration Quarterly, 22 (4), 59-79.

A book or article with no author or editor named

Merriam-Webster's collegiate dictionary (10th ed.). (1993). Springfield, MA: Merriam-Webster.

No comments:

Post a Comment